Thursday 24 March 2011

TMpoint on Wheels ke seluruh negara



Telekom Malaysia Bhd. (TM) memperuntukkan RM2.4 juta untuk menyediakan perkhidmatan TMpoint on Wheels (TMOW) di seluruh negara. TMOW merupakan unit bergerak TMpoint yang akan mengunjungi pelanggan bagi menyediakan jualan produk dan perkhidmatan TM ke kawasan-kawasan yang tidak mempunyai premis TMpoint.




Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, perkhidmatan tersebut telah dimulakan pada pertengahan tahun lalu secara berperingkat-peringkat untuk pergi ke kawasan-kawasan luar bandar mengikut jadual yang telah ditetapkan.


''Pada masa ini, kita mempunyai 15 trak TMOW yang akan bergerak ke seluruh negara. Bagi setiap negeri satu trak akan disediakan.


''Apa yang menarik, selain perkhidmatan yang disediakan oleh TMOW, ia turut mempunyai ciri-ciri unik seperti menyediakan Klinik Jalur Lebar bagi pelanggan untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai perkhidmatan Internet,'' katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran TMOW di sini hari ini.


Ia telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim. Hadir sama Pengerusi TM, Datuk Dr. Halim Shafie.


Antara perkhidmatan yang boleh didapati di TMOW adalah perkhidmatan suara untuk kediaman dan perniagaan, perkhidmatan Internet, penjualan kelengkapan seperti set telefon, penjualan kad-kad prabayar, kutipan pembayaran bil-bil TM dan khidmat pelanggan seperti aduan, pertanyaan dan khidmat nasihat.


Individu yang berada dalam lingkungan 50 meter TMOW akan dapat menikmati perkhidmatan WiFi percuma.


Zamzamzairani berkata, pelanggan juga boleh menjelaskan bil-bil lain seperti Celcom, Astro. Tenaga Nasional, air serta cukai pintu dan sebagainya.


''Buat masa ini, TMOW hanya menerima pembayaran secara tunai dan pembayaran kad kredit akan bermula pada suku kedua tahun ini.


''TMOW akan berhenti di kawasan-kawasan tertentu dan beroperasi setiap hari dari 10.00 pagi hingga 7.00 petang,'' katanya.


Sementara itu, Halim Shafie berkata, TMOW membolehkan mereka mendekati pelanggan dan melengkapi 105 premis TMpoint di seluruh negara.


''Ia menyediakan ruang untuk kami berinteraksi dengan pelanggan. TM kini mempunyai 1,300 anggota barisan hadapan di premis-premis TMpoint dengan tambahan sebanyak 30 orang lagi bertugas di TMOW.


''Selain itu, seramai 1,600 lagi kakitangan sedang menjalani latihan dan akan sedia berkhidmat untuk pelanggan dalam tempoh dua bulan,'' jelasnya.


Untuk maklumat lanjut boleh di dapati di http://tmpoint.tm.com.my.

No comments:

Post a Comment