JOHOR BAHRU 4 Mac - Telekom Malaysia Berhad (TM) menawarkan sebanyak 7,000 komputer riba percuma dilengkapi pakej jalur lebar dikenali sebagai Steamyx Cool Uni Pack' kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini.
Pengurus Besar TM Johor, Mohd. Roslan Mohd. Rashidi berkata, tawaran tersebut yang dibuka hingga akhir April ini turut ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sudah mendapat tawaran ke IPT.
Beliau berkata, untuk melayakkan pelajar mendapatkan tawaran tersebut, mereka perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan antaranya berasal dari keluarga berpendapatan RM3,000 atau kurang.
Antara syarat lain, mereka harus berada di tahun pertama atau kedua di mana-mana IPT awam atau swasta dan mendapatkan pengesahan daripada Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) pusat pengajian masing-masing.
"Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah ada antaranya sudah diluluskan.
"Bagi penuntut yang terpilih, mereka hanya diperlukan untuk membayar yuran langganan serendah RM50 sebulan selama dua tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Di samping itu, TM juga menawarkan modem tanpa wayar percuma, akaun Streamyx Zone percuma dan pelanggan juga boleh memuat turun 50 buah lagu sebulan selama 12 bulan daripada portal muzik TM, HyppTunes.
Mohd. Roslan berkata, pelanggan juga akan menikmati diskaun sebanyak 50 peratus daripada kadar langganan bagi yuran bulan pertama selain pengecualian yuran pengaktifan sebanyak RM75 dan yuran pemasangan sebanyak RM88.
"Bagaimanapun, bagi penuntut yang memerlukan lebar jalur lebih tinggi, mereka boleh memilih pakej dengan kelajuan lebih tinggi bermula dari 512 kilobit sesaat hingga 4 megabit sesaat dengan peningkatan yuran minimum dari hanya RM15 sebulan.
"Kita berharap pakej ini dapat membantu penuntut untuk memiliki komputer riba tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar," katanya.
Justeru, para penuntut yang berkelayakan boleh berurusan di kaunter jualan TM atau cawangan TMpoint terdekat.
Antara dokumen yang perlu dibawa adalah salinan kad pengenalan, salinan kad pelajar dan borang permohonan yang dilengkapi dengan pengesahan HEP.
Keterangan lanjut mengenai tawaran tersebut boleh diperoleh dengan melayari www.tm.com.my atau menghubungi Pusat Bantuan Pelanggan TM di talian 100.
No comments:
Post a Comment