Thursday 24 March 2011

TM promosi pengecualian yuran pemasangan UniFi

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Telekom Malaysia Bhd. (TM) memberi pengecualian yuran pemasangan sebanyak RM200 untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), UniFi bagi semua pelanggan yang mendaftar dari 15 Januari lalu hingga 15 Februari ini.

TM dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, promosi tersebut sah untuk semua pakej UniFi VIP dan BIZ.

Menurut TM, para pelanggan boleh mendaftar untuk perkhidmatan tersebut di cawangan-cawangan TMpoint terpilih (dalam kawasan yang menerima liputan UniFi), Pengedar TM yang dilantik (TAD), ejen-ejen jualan TM yang sah dan juga melalui portal UniFi di alamat www.tm.com.my.

"UniFi kini ditawarkan menerusi tiga pakej kediaman dan tiga pakej perniagaan. Pakej kediaman tiga serangkai yang ditawarkan adalah VIP5 pada kadar RM149 sebulan, VIP10 untuk RM199 sebulan dan VIP20 untuk RM249 sebulan.

'Setiap pakej didatangkan dengan tiga perkhidmatan iaitu internet berkelajuan tinggi, HyppTV dan telefon. Semua pelanggan UniFi akan menerima saluran asas HyppTV secara percuma.

"Tawaran-tawaran Premium HyppTV dan Video-on-Demand boleh didapati melalui pilihan secara 'ala-carte' dengan yuran langganan nominal,'' kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, pakej-pakej perniagaan yang ditawarkan TM pula adalah BIZ5 untuk kadar RM199 sebulan, BIZ10 pada kadar RM599 sebulan dan BIZ20 pada kadar RM899 sebulan.

Jelas TM, setiap pakej perniagaan didatangkan bersama penawaran dua serangkai iaitu telefon dan sambungan internet berkelajuan tinggi.

"Perkhidmatan telefon menawarkan pelan panggilan yang amat kompetitif manakala sambungan internet berkelajuan tinggi dan banyak lagi perkhidmatan percuma memberikan pelbagai kemungkinan bagi memenuhi keperluan perniagaan,'' ujar kenyataan tersebut.



Projek HSBB bernilai RM11.3 bilion itu ditandatangani pada bulan September 2008 lalu merupakan projek usahasama awam dan swasta iaitu di antara TM dan kerajaan untuk membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi untuk generasi akan datang.

Melalui projek itu, TM telah melabur sehingga RM8.9 bilion manakala kerajaan telah menyumbang sebanyak RM2.4 bilion menerusi kaedah tuntutan berdasarkan perkembangan projek yang dicapai oleh TM.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai senarai penuh kawasan-kawasan liputan UniFi, kesediaan perkhidmatan dan maklumat lanjut pakej-pakej UniFi, orang ramai boleh melayari laman web TM di alamat, www.tm.com.my.

No comments:

Post a Comment