Thursday 24 March 2011

TELEKOM SALES AND SERVICES SDN BHD MENANG 2 ANUGERAH DI MAJLIS PENGANUGERAHAN INTERNATIONAL BUSINESS REVIEW AWARDS 2009


Telekom Sales & Services Sdn. Bhd. (TSSSB), sebuah anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) baru – baru ini menerima dua (2) anugerah utama bagi kategori Jualan bagi Perkhidmatan Telekomunikasi di Majlis Penganugerahan International Business Review Awards 2009 yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).


TSSSB telah berjaya menerima Anugerah Korporat untuk kategori Jualan Perkhidmatan Telekomunikasi. Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSSSB, Ahmad Khairul Razi Ismail juga turut menerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi kategori Jualan Perkhidmatan Telekomunikasi. Ini adalah penerimaan anugerah yang kedua berturut-turut bagi TSSSB di Majlis Penganugerahan International Business Review Awards 2009 di dalam kategori Jualan Perkhidmatan Telekomunikasi bagi kedua - dua anugerah Korporat dan CEO. Anugerah Korporat tersebut telah disampaikan oleh M. Prakash Chandran, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Siemens Malaysia & Ketua Sektor Tenaga, Siemens ASEAN, sementara Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif pula telah disampaikan oleh YB Senator A.Kohilan Pillay, Timbalan Menteri Luar Negeri, Malaysia.

Anugerah Korporat bagi kategori Jualan Perkhidmatan Telekomunikasi mengiktiraf prestasi TSSSB yang cemerlang di dalam pelbagai aspek seperti keuntungan kewangan, penggunaan teknologi baru, inovasi, urus tadbir, pembangunan sumber manusia dan tanggungjawab korporat. Anugerah CEO bagi kategori Jualan Perkhidmatan Telekomunikasi dianugerahkan kepada Ahmad Khairul Razi berdasarkan tahap kecemerlangan kepimpinan beliau sehingga membawa kepada pencapaian korporat terbaik TSSSB.


Ahmad Khairul Razi Ismail, yang hadir untuk menerima kedua-dua anugerah tersebut, berkata, “Saya amat berbesar hati menerima kedua – dua anugerah ini bagi pihak TSSSB. Saya ingin berterima kasih kepada pihak penganjur majlis anugerah ini, International Business Review dan jawatankuasa penilaian Anugerah IBRA 2009, di atas penganugerahan yang mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan dan organisasi kami. Kami menerima anugerah ini dengan penuh bangga kerana ianya diiktiraf oleh sebuah majalah perniagaan yang terunggul di rantau ini, yang sentiasa memaparkan berita - berita dan isu terkini mengenai industri perniagaan. Kami akan terus berusaha untuk melangkaui batas yang membolehkan kami memenangi anugerah ini sebagai salah satu usaha berterusan kami dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik di dalam penjualan perkhidmatan telekomunikasi kami kepada semua warga Malaysia. Bagi pihak TSSSB, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah TSSSB, pihak pengurusan kanan Kumpulan TM dan semua rakan niaga kami di atas sokongan mereka selama ini.”

“Kemenangan ini melambangkan pembangunan TSSSB menjadi sebuah syarikat yang utama di dalam industri teknologi maklumat dan telekomunikasi serta perniagaan jualan perkakasan kediaman pengguna. Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk kami meneruskan perjuangan bagi mencapai kejayaan yang lebih besar dan cemerlang pada tahun 2010,” tambah Ahmad Khairul Razi.

Anugerah International Business Review 2009 dianjurkan oleh International Business Review, sebuah majalah perniagaan terkemuka untuk perniagaan di Malaysia dan di rantau ini. Pencalonan untuk anugerah ini dibuka kepada syarikat - syarikat yang beroperasi di dalam 18 sektor yang berlainan di rantau ini. Di antara sektor – sektor yang diiktiraf oleh anugerah ini termasuklah sektor telekomunikasi, petroleum dan gas, serta perbankan dan kewangan.

International Business Review adalah majalah perniagaan yang terkemuka di rantau ini dan dibaca secara meluas oleh para diplomat, korporat, kerajaan dan ahli-ahli profesional. International Business Review kini boleh didapati di peringkat antarabangsa sebagai majalah elektronik di www.ezinemart.com/tbr, di mana ianya meliputi 17 negara, dan mempunyai purata melebihi 100,000 pembaca.

No comments:

Post a Comment